global

Pijak gambar untuk lupa bekas kekasih

London: Putus cinta akibat ditinggalkan atau dicurangi kekasih hati sudah pasti memeritkan dan pasti ramai yang mengambil masa yang lama untuk melupakan bekas pasangan masing-masing.

Namun, sebuah studio di sini memberi peluang kepada mana-mana individu untuk melupakan kisah duka berkenaan dan pada masa yang sama membalas dendam kepada bekas kekasih.

Bompas & Parr mencipta pengalas kasut yang digelar ‘Anti Hari Kekasih’ di mana pelanggan boleh menempah untuk mencetak gambar bekas kekasih mereka di atas pengalas kasut itu.

Syarikat itu berkata, pengalas kasut itu memberi peluang kepada orang ramai untuk membalas dendam selepas ditinggalkan secara simbolik memijak bekas kekasih mereka.

Mereka yang berminat boleh menghantar gambar bekas kekasih kepada studio itu yang mencetaknya di atas pengalas kasut sebelum dihantar semula kepada pelanggan untuk digunting mengikut saiz kasut.

Bompas & Parr memberitahu, studio itu hanya membuka 25 tempahan pengalas kasut itu sempena Hari Kekasih lalu tetapi sambutan yang diterima sangat luar biasa sehingga mereka terpaksa membuka lebih banyak tempahan.

“Dengan berjalan sambil memijak wajah seseorang yang membuat anda sedih atau marah, tapak kasut ini memberi kesan psikologi kepada pemakainya.

“Ia satu peluang untuk mengembalikan jiwa daripada seksaan akibat putus cinta, memberikan satu lonjakan psikologi dan mempersiapkan diri anda untuk hubungan yang seterusnya,” kata pengarah Bompass & Parr, Harry Parr. - Agensi

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 9:13am
d