global

Singapura naik GST

Oleh Channel News Asia

KHABAR angin kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di Singapura disahkan Menteri Kewangannya, Heng Swee Keat ketika ucapan bajet 2018, hari ini.

Cadangan kenaikan itu adalah daripada tujuh peratus ketika ini kepada sembilan peratus dan ia akan dikuatkuasakan bila-bila masa di antara 2021 sehingga 2025.

“Waktu sebenar kenaikan GST ini bergantung kepada keadaan ekonomi, perbelanjaan negara dan keapungan cukai sedia ada. Namun, saya merasakan kita perlu melakukannya lebih awal,” kata Heng.

Heng menambah, kenaikan GST akan dilaksanakan secara berperingkat. Kerajaan akan terus menyerap GST dalam sektor pendidikan dan penjagaan kesihatan yang ditanggung kerajaan.

Katanya, skim baucar GST kekal turut ditambah baik apabila kenaikan ini bermula dan ia akan meningkatkan bantuan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah dan warga emas.

Kerajaan Singapura juga akan melaksanakan pakej penampan untuk tempoh tertentu bagi membantu rakyat negara itu menyesuaikan diri terhadap kenaikan GST dengan golongan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana menerima lebih banyak bantuan.

Lebih banyak butiran akan dimaklumkan apabila waktu kenaikan GST sudah ditentukan kemudian, katanya.

Kali terakhir Singapura meningkatkan kadar GST pada 2007 iaitu daripada lima ke tujuh peratus.

Ia diumumkan bekas Menteri Kewangan ketika itu, Lee Hsein Loong dalam ucapan bajet pada 15 Februari 2007 dan dilaksanakan beberapa bulan kemudian pada 1 Julai.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 8:40pm
d