global

Tembak orang utan 130 kali

Oleh AFP

Jakarta: Empat lelaki ditahan kerana membunuh seekor orang utan dengan menembaknya menggunakan senapang angin kira-kira 130 kali dalam kejadian terbaru seumpamanya membabitkan haiwan terancam berkenaan.

Suspek yang juga petani di Kalimantan itu mengaku membunuh haiwan berkenaan kerana merosakkan tanaman mereka di ladang nanas dan sawit, kata pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kutai Timur Teddy Ristiawan berkata: “Mereka cuma mahu menghalau haiwan itu, malangnya tindakan mereka membunuhnya.”

Suspek yang ditahan minggu lalu itu didakwa membunuh haiwan terancam dan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda maksimum AS$7,400 (RM29,000).

Suspek kelima, remaja berusia 13 tahun yang turut ditahan, dibebaskan kerana masih bawah umur.

Penduduk di Kutai Timur menemui bangkai orang utan jantan itu dipenuhi kesan tembakan dua minggu lalu. Bangkai itu turut menunjukkan kesan kecederaan akibat parang.

Pembunuhan itu berlaku kira-kira seminggu selepas polis di Borneo menahan dua pekerja ladang getah kerana dituduh menembak seekor orang utan beberapa kali sebelum memenggal kepala haiwan itu.

Bangkai tidak berkepala itu ditemui terapung di dalam sungai.

Orang utan Borneo dan Sumatera tersenarai sebagai amat terancam oleh Kesatuan Antarabangsa Bagi Konservasi Alam Semula Jadi (IUCN).

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 1:27am
d