global

Mahu jeneral 'penjenayah perang' dihukum mati

Oleh AFP

Seoul: Ahli Parlimen Korea Selatan semalam membantah lawatan jeneral tertinggi Korea Utara ke acara penutupan Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang, Ahad ini, dengan menggelarnya penjenayah perang dan mendesak dia dihukum mati.

Kim Yong Chol dijangka mengetuai delegasi lapan orang pada acara yang turut dijadualkan dihadiri anak perempuan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Ivanka, menyebabkan pegawai kerajaan berdepan kesukaran untuk menyusun protokol.

Yong Chol didakwa bertanggungjawab ke atas beberapa siri serangan ke atas Korea Selatan termasuk meletupkan kapal perang negara itu pada 2010 yang menyebabkan 46 orang maut.

Kira-kira 70 ahli Parlimen parti konservatif mengadakan bantahan di luar Rumah Biru mendesak Presiden Moon Jae-in membatalkan lawatan itu.

“Kim Yong Chol penjenayah perang kejam yang menyerang Korea Selatan. Dia berhak dihukum gantung di jalan raya.

“Walaupun bumi terbelah dua, kami tidak boleh membenarkan penjenayah seperti itu yang sepatutnya dihukum mati dijemput ke acara berkenaan,” kata ketua parti itu, Kim Sung-tae dalam satu kenyataan.

Sementara itu jurucakap kementerian penyatuan, Baek Tae-hyun berkata, mereka sedia maklum mengenai rasa tidak puas hati meluas berhubung lawatan itu tetapi menerimanya sebagai peluang untuk meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara.

Kehadiran Yong Chol dilihat sebagai demonstrasi bagaimana Pyongyang menggunakan sukan itu untuk menguji had sekatan berbeza dikenakan ke atas senjata nuklear dan program peluru berpandu balistik.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 1:58am
d