global

Sucikan Citarum

Oleh Reuters

Jakarta: Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo berkata, air dari Sungai Citarum boleh diminum dalam tempoh tujuh tahun lagi di bawah projek pembersihan baru sungai di pulau Jawa itu, dianggap antara yang paling tercemar di dunia.

Sungai Citarum mengalir 300 kilometer dari mata air di Jawa Barat ke laut berhampiran ibu kota ini dan menjadi sumber tenaga tiga stesen hidroelektrik serta digunakan untuk mengairi 400,000 hektar sawah padi.

Tebing sungai Citarum pula menjadi sumber kehidupan 28 juta penduduk, walaupun dipenuhi sisa domestik dan dicemari paras pewarna serta logam berat yang tinggi hasil buangan aktiviti pengilangan.

“Sungai Citarum pernah jernih sebelum menjadi paling tercemar. Kami cuba membersihkannya secepat mungkin dalam tujuh tahun dan selepas itu ia boleh menjadi sumber air minuman,” kata Jokowi di Twitter selepas melawat punca sungai itu di Jawa Barat, semalam.

Jokowi berkata, kerajaan juga merancang menggunakan konsep projek Citarum di tebing sungai lain yang memerlukan pembersihan.

Bank Pembangunan Asia (ADB) meluluskan pinjaman AS$500 juta (RM1.95 bilion) kepada Indonesia pada 2009 untuk membantu membersihkan sungai itu.

Namun, bank terbabit tidak memberikan maklum balas mengenainya menerusi e-mel.

Seorang pegawai Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Maritim, Tubagus Haeru yang memantau projek pembersihan itu berkata, cubaan untuk membersihkan sungai itu sebelum ini mahal dan gagal.

“Beberapa kementerian mengambil inisiatif sendiri, kerajaan tempatan bergerak sendiri dan komuniti turut bertindak bersendirian,” kata Haeru kepada Reuters.

Kajian pertubuhan kebajikan alam sekitar di New York, Blacksmith Institute pada 2013 mendapati, paras plumbum dalam sungai Citarum 1,000 kali lebih tinggi berbanding tahap air minuman Amerika Syarikat, sementara paras aluminium, magnesium dan besi jauh lebih tinggi berbanding paras dicadangkan.

“Sungai Citarum masih tidak berubah dan banyak media melaporkan ia sungai paling kotor di dunia,” kata Haeru.

Usaha pembersihan terbaru itu bermula sejak awal bulan ini, membabitkan polis, tentera, jabatan kerajaan, pelbagai pertubuhan dan penduduk awam di 25 daerah sepanjang sungai mengalir.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 2:00am
d