global

Gelombang baru

Oleh Agensi

Beirut: Tentera Syria dan sekutunya melancarkan gelombang baru serangan bom di Ghouta Timur untuk hari keenam berturut-turut yang meragut sembilan nyawa termasuk kanak-kanak seterusnya membawa jumlah kematian sejak Ahad lalu kepada 426 orang, menjelang undian Majlis Keselamatan untuk mendesak gencatan senjata 30 hari di negara itu.

Pengarah Pemerhati Hak Asasi Syria (SOHR) rami Abdel Rahman memberitahu AFP: “Serangan udara dan tembakan diteruskan di beberapa bandar di Ghouta Timur.”

Menurutnya, lima mangsa maut dalam serangan udara di Douma - bandar utama di situ - dengan dua daripadanya kanak-kanak.

Reuters melaporkan, pesawat pejuang membedil lebih 12 hospital seterusnya menyukarkan usaha merawat mangsa cedera.

Reuters memetik saksi di Douma berkata, serangan awal pagi itu dianggap yang terburuk setakat ini.

Seorang lagi penduduk di Hamouriyeh berkata: “Serangan berterusan seperti hari sebelumnya. Sebaik serangan dihentikan seketika, kenderaan pertahanan awam dikerahkan ke kawasan tertentu bagi mengalihkan puing dari jalan.

Pengeboman di Ghouta sejak Ahad lalu itu antara yang paling sengit sepanjang peperangan yang kini masuk tahun kelapan.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi resolusi draf mendesak gencatan senjata 30 hari di Syria bagi membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan serta pemindahan pesakit.

Langkah itu dicadangkan Sweden serta Kuwait pada 9 Februari lalu, tetapi berdepan halangan Russia, sekutu terkuat Syria. Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis turut menggesa undian segera diadakan.

Jabatan Negara AS berkata, Russia bertanggungjawab atas apa yang berlaku di situ kerana menyokong Syria.

“Kematian dan kemusnahan tidak akan berlaku jika tidak kerana sokongan Russia,” kata jurucakapnya Heather Nauert.

Jika berjaya, resolusi draf itu dijangka membuka ruang untuk gencatan senjata dilaksanakan dalam tempoh 72 jam bagi membolehkan bantuan kemanusiaan serta pemindahan pesakit dimulakan 48 jam kemudian.

Antara lain ia menggesa semua pengepungan termasuk di Ghouta Timur, Yarmouk, Foua dan Kefraya dihentikan selain mengarahkan ‘semua pihak berhenti menghalang orang awam menerima makanan dan perubatan yang diperlukan untuk kelangsungan hidup mereka.’

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 2:15am
d