global

'Rimas' esakan

Oleh Daily Mail

Wisconsin: Seorang wanita membongkar sendiri perbuatan kejam yang dilakukan lebih 30 tahun lalu apabila mengaku membunuh dengan melemaskan tiga bayi termasuk anaknya sendiri dalam kejadian sekitar 1980-an.

Nancy Moronez, 60, didakwa dengan tiga pertuduhan membunuh di Milwaukee, kelmarin, selepas mengaku melakukan perbuatan itu.

Semua kematian itu pada mulanya dikaitkan dengan sindrom kematian mengejut (SIDS) sebelum dibuka semula pada Mac 2015 apabila anak perempuan Nancy memberitahu polis, ibunya mengaku membunuh bayi sendiri berusia 18 hari menggunakan beg plastik sampah pada 1980, kata pendakwa raya.

Dua lagi bayi meninggal dunia pada 1984 dan 1985 ketika Nancy menjadi pengasuh mereka.

Nancy memberitahu detektif Milwaukee bahawa dia bertanggungjawab atas tiga kematian itu selain mengatakan dia tidak tahan dengan bayi yang kerap menangis, kata pendakwa raya lagi menerusi dokumen pertuduhannya.

Menurutnya, dia membunuh bayi lelakinya yang berusia 18 hari ketika itu dengan melemaskannya di dalam air hingga wajah mangsa bertukar ungu.

Selepas kematian bayinya, pendakwa raya berkata wanita terbabit mengasuh bayi lelaki berusia enam bulan.

Ketika itu, Nancy memberitahu penyiasat dia melihat bayi terbabit tidak bertindak balas kira-kira sejam selepas membiarkannya tidur meniarap.

Dia kemudian mengasuh seorang lagi bayi perempuan berusia 11 minggu setahun kemudian yang juga meninggal dunia.

Ketika itu, seorang anggota bomba yang dikerahkan memberi bantuan menegurnya selepas mengenalinya dari insiden tahun sebelumnya.

Susulan itu, Nancy berkata dia terus berhenti mengasuh bayi.

Menurut Fox6, wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kini ditahan di Penjara Daerah Milwaukee sementara menunggu jaminan AS$105,000 (RM411,548).

Disiarkan pada: February 25, 2018 @ 4:47am
d