global

30 hari gencatan senjata

Oleh AFP

MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan gencatan senjata selama 30 hari di Syria berikutan serangan udara terbaru di Ghouta Timur yang meragut lebih 500 nyawa orang awam.

Dengan sokongan Russia, badan itu mahu resolusi berkenaan dilaksanakan serta merta bagi membolehkan misi bantuan kemanusiaan dan perubatan disalurkan segera.

Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, pesawat perang Syria yang dibantu Russia melancarkan serangan di Ghouta Timur sejurus selepas pengundian oleh Majlis Keselamatan.

Ahad lalu, serangan di luar Damsyik oleh rejim Bashar Al-Assad mengorbankan sekurang-kurangnya 127 kanak-kanak manakala dalam serangan terbaru semalam, 41 orang awam disahkan maut,

Russia menafikan sebarang pembabitan dalam serangan berkenaan.

Undian itu pada awalnya dijadualkan diadakan pada Khamis, namun ditangguhkan beberapa kali kerana gagal mencapai kata sepakat dalam usaha mengelakkan penggunaan kuasa veto oleh Russia yang menyokong rejim Bashar.

Duta Besar Amerika Syarikat, Nikki Haley, berkata, penderitaan penduduk Syria semakin bertambah setiap kali rundingan berkenaan ditangguhkan.

"Selagi tiada kata sepakat dicapai, bom dari jet pejuang Assad akan terus membunuh ratusan nyawa tidak berdosa.

"Sepanjang tempoh tiga hari majlis ini bersidang, berapa ramai ibu yang terpaksa kehilangan anak masing-masing," katanya.

Disiarkan pada: February 25, 2018 @ 1:07pm
d