global

Rumah terbakar guna bom asap halau skunk

Oleh HM Digital

Lansing (Amerika Syarikat): Tindakan seorang lelaki yang menggunakan bom asap untuk menghalau skunk yang bersarang di kolong rumahnya membawa padah apabila kediamannya hampir musnah akibat terbakar.

Ketua bomba Ferndale, P Sullivan berkata, pada pagi Isnin lalu pihaknya menerima panggilan mengenai sebuah rumah yang terbakar.

Menurutnya, ketika bomba tiba kebakaran sudah merebak dari kolong hingga ke tingkat satu rumah berkenaan.

“Pemilik rumah memberitahu dia menghadapi masalah skunk yang bersarang di kolong rumahnya sejak beberapa bulan dan cuba menghalau haiwan itu menggunakan bom asap.

“Pada mulanya semuanya berjalan lancar tetapi secara tiba-tiba bom asap itu mengeluarkan api dan menyebabkan kolong itu terbakar.

“Rumah itu dipercayai terbakar selama 15 minit sebelum lelaki berkenaan menghubungi bomba,” katanya.

Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan sebahagian rumah itu rosak teruk dan hampir semua barangan milik pemilik kediaman itu tidak dapat diselamatkan.

“Kami menasihati orang ramai supaya mendapatkan khidmat kawalan serangga profesional sekiranya berdepan masalah seperti ini dan jangan melakukan sesuatu yang membahayakan,” katanya.

Bagaimanapun, nasib skunk itu tidak diketahui dan Sullivan memberitahu, tiada bangkai haiwan ditemui di lokasi kejadian. - Agensi

Disiarkan pada: February 26, 2018 @ 11:10am
d