global

Duterte mahu bersara awal kerana penat

Oleh Reuters

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menyuarakan hasrat untuk berundur lebih awal sebelum penggal pemerintahannya tamat kerana sudah tua dan penat sekali gus menolak kebimbangan dia mungkin terus berkuasa untuk menjadi diktator.

Duterte yang kini berusia 72 tahun berkata, dia tidak lagi bertenaga untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin negara dan akan bersara dua tahun lagi.

“Saya akan berundur pada 2020 dan tidak akan tunggu sehingga 2022. Saya sudah tua dan tidak ada lagi cita-cita. Saya ingin berehat,” katanya dalam satu ucapan di sini, kelmarin.

Menurutnya, dia mahu segera mencapai matlamatnya iaitu mahu mewujudkan sistem federalisme supaya dapat menamatkan penggal pemerintahan lebih awal.

Bekas Datuk Bandar itu sekian lama mencadangkan sistem berkenaan untuk menangani jurang kekayaan, memperkasakan kerajaan serantau dan mengiktiraf kepelbagaian di negara itu.

Duterte yang mewujudkan 19 ahli panel terdiri daripada pakar undang-undang perlembagaan diketuai bekas Hakim Mahkamah Agung bulan lalu, mencadangkan model federal yang sama seperti di Amerika Syarikat.

Segelintir pengkritik percaya langkah untuk mengubah perlembagaan itu bermaksud Duterte akan terus berkuasa selepas 2022, apabila penggal enam tahunnya tamat.

Sekutu Duterte di Dewan Rakyat bulan lalu membuat undian untuk membuat semakan terhadap piagam, menghapuskan pilihan raya pertengahan penggal tahun depan serta melanjutkan penggal semua ahli yang dipilih.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 4:28am
d