global

'Isteri tak masak bukan kekejaman'

Oleh Agensi

LELAKI gagal menceraikan isterinya atas alasan wanita itu sering bangun lambat dan tidak pandai masak.

Mahkamah Tinggi Bombay mempertahankan perintah Mahkamah Keluarga sebelum ini menolak permohonan lelaki berkenaan yang mendakwa perbuatan isterinya itu satu kekejaman yang mewajarkan supaya dia diceraikan.

Dalam permohonannya, lelaki terbabit mendakwa isterinya marah dan bertindak ganas jika dia dan ibu bapa cuba mengejutkannya daripada tidur pada awal pagi. Dia juga mendakwa isterinya tidur sebaik pulang dari pejabat pada 6 petang dan cuma mula masak pada 8.30 malam.

Bagaimanapun, alasannya itu tidak diterima mahkamah yang menganggap tidak adil kerana isteri terbabit sudah cukup terbeban.

“Si isteri juga bekerja, tetapi dibebankan lagi dengan semua kerja rumah termasuk urusan membeli barang dapur, masak untuk suami dan keluarga mentua selain mengemas.

“Sukar untuk mempercayai si isteri sering mendera dan mengancam suami serta mentuanya. Perbuatannya gagal memasak apabila suami pulang lewat tidak boleh dianggap kekejaman.

“Malah kami bersetuju tindakan hakim Mahkamah Keluarga mengkritik suami berkenaan kerana menganggap isterinya patut menawarkan segelas air setiap kali dia tiba di rumah,” kata mahkamah.

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 8:47pm
d