global

Takut keluar rumah

Oleh AFP

Mosul:Nama keluarga yang sama dengan mereka yang dianggap pengganas menyebabkan ribuan penduduk di Mosul bimbang keluar dari rumah walaupun bandar itu sudah dibebaskan daripada Daish kerana takut ditangkap pihak berkuasa.

Mosul ditawan Daish atau kumpulan Negara Islam (IS) pada 2014 sebelum berjaya ditawan semula tentera kerajaan pada Julai tahun lalu, selepas serangan beberapa bulan.

Seorang penduduk, Mohammed, 24, berkata, sejak kejatuhan Daish dia jarang keluar rumah bimbang ditangkap pihak berkuasa kerana mempunyai nama sama dengan anggota kumpulan militan itu.

Kebanyakan penduduk di negara Arab menggunakan nama Mohammed, Ali, Khaled, Khalil dan Ibrahim yang popular, sukar untuk menentukan identiti seseorang tanpa menyemak latar belakang seperti nama bapa, ibu serta puak.

“Saya tidak boleh keluar atau bergerak bebas di bandar ini, bimbang terserempak dengan anggota keselamatan yang mempunyai senarai nama militan dalam komputer dan menangkap saya,” katanya.

Kerajaan Iraq mula mengeluarkan kad pengenalan baru berkod bagi membolehkan data seseorang disimpan dalam sistem komputer.

Bagaimanapun, keadaan di Mosul masih belum terkawal sepenuhnya menyebabkan sistem kad pengenalan baru itu tidak dapat dilaksana.

Menurut sumber mahkamah dan peguam, seseorang yang ditangkap boleh membuktikan di mahkamah tiada kaitan dengan militan namun menurut Mohammed, prosedur itu sama seperti dihukum penjara.

“Meminta hakim menyiasat bermakna saya akan ditahan berbulan-bulan kerana siasatan dan pengesahan mengambil proses sangat lama,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Wahid, 30, memberitahu, dia mengetahui nama keluarganya dalam senarai diburu pihak berkuasa ketika hadir ke universiti untuk mengambil diploma.

“Diploma akan diberi hanya selepas pengesahan oleh perkhidmatan risikan menyebabkan saya tidak mengambil diploma kerana bimbang ditangkap.

“Seorang rakan ditangkap tiga bulan lalu kerana namanya sama dengan anggota militan dan belum dibebaskan,” katanya. - AFP

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 8:55am
d