global

Dapat pistol tembak adik

Oleh Agensi

Ohio: Seorang budak lelaki berusia lapan tahun menembak adik perempuannya berulang kali termasuk di bahagian perut selepas ditinggalkan berdua di rumah tanpa pemantauan dewasa.

Ibu mereka, Alyssa Edwards, 29, dari Ashland cuma pulang dari kerja untuk membersihkan luka mangsa tanpa membawanya ke hospital sebelum kembali ke pejabat, lapor media Amerika Syarikat.

Susulan itu Alyssa didakwa atas dua tuduhan meletakkan nyawa dua anaknya dalam bahaya dalam kejadian pada Sabtu lalu.

Mangsa berusia empat tahun itu cuma dibawa ke hospital beberapa jam kemudian apabila lukanya kembali berdarah dan kini masih mendapat rawatan.

CBS news melaporkan Alyssa bergegas pulang selepas mendapat panggilan anak lelakinya itu tetapi sekadar membersihkan luka mangsa.

Dia kemudian kembali bekerja tetapi sekali lagi meninggalkan dua kanak-kanak terbabit tanpa pemantauan dewasa di rumah.

Pendakwa Daerah Ashland Christopher Tunnell berkata, Alyssa membawa mangsa ke hospital beberapa jam kemudian sebelum pihak hospital melaporkan kejadian itu kepada polis.

WJW melaporkan, Alyssa kini berdepan dua tuduhan.

Timbalan Ketua Syerif Carl Richert berkata, pihaknya masih cuba mengenal pasti bagaimana kanak-kanak berkenaan menemui pistol.

Katanya, suami Alyssa yang sedang bekerja ketika kejadian menyangka wanita itu menemani anak mereka di rumah.

Budak lelaki terbabit bagaimanapun tidak akan didakwa kerana masih terlalu kecil.

Dua kanak-kanak itu diserah kepada jabatan kebajikan untuk penjagaan sementara.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 2:49pm
d