global

Ghouta hampir ditawan

Oleh Reuters

Beirut: Pertempuran sengit meletus antara tentera rejim kerajaan dengan pemberontak di tengah Ghouta, ketika angka korban orang awam melebihi 1,000 orang semalam.

Menurut pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, bandar raya berkenaan yang dijangka jatuh ke tangan rejim Presiden Bashar al-Assad, dihujani bedilan artileri, pengeboman dari udara dan serangan helikopter.

Serangan hebat oleh tentera kerajaan semalam, dilakukan selepas kejayaan memecahkan Ghouta menyebabkan kumpulan pemberontak terputus antara satu sama lain.

Tentera kerajaan dibantu Russia dan kumpulan bersenjata berjaya menawan Douma, bandar utama Ghouta kelmarin, memutuskan hubungan dengan bandar Harasta di barat selepas menawan Misraba.

Menurut pertubuhan itu, sekurang-kurangnya 20 orang awam, termasuk empat kanak-kanak terbunuh di Douma semalam, selain 17 lagi orang awam yang maut di kawasan lain.

Korban terbaru itu menjadikan jumlah orang awam yang terbunuh kini hampir 1,100 orang, termasuk 219 kanak-kanak sejak Syria melancarkan serangan besar-besaran bagi menawan Ghouta, 18 Februari lalu.

Wakil PBB di Syria, Sajjad Malik, yang memasuki Ghouta bersama konvoi bantuan minggu lalu, menggambarkan bandar raya itu sebagai ‘neraka dan bencana terburuk.’

“Saya tidak pernah melihat tempat yang mengerikan seperti itu,” katanya.

Menurutnya, bangunan lima tingkat musnah sama sekali dengan bau busuk mayat terperangkap di bawah runtuhan.

Regim Bashar menampakkan kemajuan kembali menguasai Syria dengan bantuan Russia sejak 2015 apabila menawan sejumlah bandar dan bandar raya, termasuk Aleppo daripada pemberontak.

Namun, Bashar masih tidak boleh menguasai seluruh negara kerana pemberontak masih bertapak di kawasan besar di Barat Laut dan Barat Daya, manakala Timur Laut dikuasai Kurdish.

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 9:25am
d