global

Bom sasar PM Palestin

Oleh Reuters

Gaza: Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah, terselamat daripada cubaan membunuhnya apabila bom meletup tidak lama selepas konvoi kenderaannya bergerak dekat Beit Hanoun, ketika beliau melawat Gaza, semalam.

Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Palestin (PA), bom itu meletup hanya beberapa minit selepas konvoi kenderaan Hamdallah melepasi lokasi letupan dan tiada kecederaan dilaporkan namun tiga kenderaan rosak.

Beliau kemudian berucap di majlis perasmian pusat rawatan sisa di Semenanjung Gaza dan berlepas pulang ke Tebing Barat, memendekkan lawatannya ke Gaza.

PA meletakkan tanggungjawab kejadian itu kepada Hamas yang menguasai Gaza, menuduh mereka gagal menyediakan kawalan keselamatan secukupnya.

Kementerian Dalam Negeri Gaza yang ditadbir Hamas, menyatakan tiada kecederaan dilaporkan dan siasatan sudah dimulakan.

Hamdallah yang mentadbir Palestin dari Tebing Barat, membuat perjalanan darat melalui Israel ke Gaza.

Menurut polis, saksi menyatakan letupan berlaku beberapa minit selepas kenderaan beliau melalui kawasan itu dan menyebabkan dua kereta paling belakang rosak.

“Pentadbiran Presiden Palestin meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada Hamas,” kata kenyataan PA.

Hamas masih mentadbir Gaza sejak 2007, manakala PA mentadbir Tebing Barat.

Letupan semalam berlaku berhampiran lokasi konvoi diplomatik Amerika Syarikat diletupkan dengan bom kawalan jauh pada 2003 menyebabkan tiga tentera Amerika terbunuh dan diplomatnya cedera.

Disiarkan pada: March 14, 2018 @ 7:15am
d