global

Setiap hari mungkin hari terakhir saya

Oleh Agensi

London: Profesor Stephen Hawking meninggal dunia pada usia 76 tahun, lebih 50 tahun selepas doktor menjangka beliau hanya boleh hidup dua tahun lagi selepas disahkan menghidap penyakit ‘motor neurone’ ketika berusia 21 tahun.

Saintis terkemuka yang terkenal dengan teori kuantum dan memahami alam semesta yang menurutnya boleh meramal apa yang berlaku pada permulaan serta pengakhiran alam, meninggal dunia di rumahnya di Cambridge, semalam.

Kajiannya meliputi asal alam semesta, kemungkinan perjalanan merentas masa dan misteri angkasa lepas, termasuk lubang hitam.

Beliau disahkan menghidap ‘motor neurone’ pada 1963 dan selama 55 tahun selepas itu, menjadi saintis terkemuka selepas Albert Einstein walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda sepanjang masa dan berkomunikasi melalui komputer serta peralatan bagi mengeluarkan suara.

Bukunya, ‘A Brief History of Time’ terjual 10 juta unit dan saintis di Universiti Cambridge itu berkahwin dua kali.

“Harapan saya untuk hidup menjadi kosong ketika berusia 21 tahun. Apa yang saya dapat selepas itu, termasuk terus hidup adalah bonus,” katanya kepada New York Times pada 2004.

“Saya hidup lima dekad lebih lama berbanding jangkaan doktor. Saya cuba melakukan yang terbaik sepanjang tempoh itu.

“Setiap hari mungkin hari terakhir menjadikan saya mahu menjadikan setiap minit amat berharga,” katanya dalam dokumentari autobiografi bertajuk “Hawking” pada 2013.

Hawking dilahirkan pada 8 Januari 1942 di Oxford dan mendapat ijazah fizik dari Universiti Oxford pada 1962 sebelum meneruskan pengajian dalam bidang kosmologi di Cambridge.

Disahkan menghidap ‘motor neurone’ pada 1963 dan berkahwin dengan Jane Wilde pada 1965. Mereka mempunyai tiga anak sebelum berpisah 25 tahun kemudian. Pada 1995, Hawkings berkahwin dengan bekas jururawatnya, Elaine Mason, namun bercerai beberapa tahun kemudian.

Pada 1979, dilantik sebagai Profesor Matematik Universiti Cambridge yang dipegangnya selama 30 tahun.

Beliau hilang keupayaan bercakap pada 1985, terpaksa menggunakan komputer dan alat mengeluarkan suara.

Disiarkan pada: March 15, 2018 @ 9:58am
d