global

Trump saman bintang porno

Oleh AFP

Los Angeles: Peguam Donald Trump mendakwa, aktres lucah Stormy Daniels boleh disaman sehingga AS$20 juta (RM78.18 juta) kerana melanggar perjanjian kerahsiaan yang melarangnya mendedahkan hubungan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu, menurut dokumen difailkan mahkamah, kelmarin.

Peguam syarikat perunding, Essential Consultants milik Michael Cohen, yang membayar Stormy atau nama sebenarnya Stephanie Clifford AS$130,000 (RM508,169.81) mengikut perjanjian kerahsiaan itu, memfailkan saman berkenaan dengan mendakwa bintang filem lucah terbabit melanggar perjanjian sekurang-kurangnya 20 kali.

“Perjanjian Penyelesaian membenarkan ganti rugi kerosakan AS$1 juta (RM3.91 juta) bagi setiap pelanggaran,” kata dokumen itu.

Stephanie menandatangani perjanjian merahsiakan hubungannya dengan Trump sebelum pilihan raya 2016.

Peguam Michael Avenatti memfailkan tuntutan bagi pihak Stephanie awal bulan ini menuntut mengetepikan perjanjian sulit itu.

Rumah Putih menafikan sebarang hubungan seksual antara Trump dan Stephanie.

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 3:17am
d