global

Sakit gigi ubah nasib

Oleh Agensi

New Delhi: Selepas 38 tahun, seorang lelaki akhirnya dapat merasai nikmat makan buat kali pertama selepas menjalani pembedahan membetulkan kecacatan rahang yang dialami sejak kecil.

Rajendra Panchal, 39, yang berasal dari Pune, India pernah terjatuh ketika berusia setahun menyebabkan rahangnya patah tetapi tidak mampu mendapatkan rawatan kerana keluarganya terlalu miskin.

Sejak itu, dia hanya boleh membuka mulutnya tidak lebih daripada 1.5 sentimeter (sm) dan terpaksa bergantung pada diet cecair.

Bagaimanapun, nasibnya berubah apabila mengunjungi klinik gigi pada Disember tahun lalu kerana sakit gigi berpanjangan yang tanpa disangka membawa tuah apabila diberi peluang menjalani pembedahan secara percuma.

Rajendra tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya selepas pembedahan itu.

“Sebelum ini saya sering diejek kerana kecacatan ini, namun kami memang terlalu miskin dan tidak mampu mendapatkan rawatan.

“Saya kini boleh makan dan bercakap seperti orang normal. Saya tidak mampu mendapatkan rawatan kerana keluarga miskin. Disebabkan itu, saya terpaksa berhenti sekolah selepas darjah empat,” katanya.

Selepas pembedahan itu, dia boleh membuka mulutnya hingga 4.5sm untuk makan seperti biasa.

Doktor gigi, Dr J B Garde, berkata, pesakit itu sebenarnya mengalami kes jarang ditemui iaitu masalah sendi temporomandibular.

“Kes ini jarang ditemui. Biasanya terus dirawat sebaik disahkan mengalami masalah ini.

“Namun pesakit ini bertahan selama 38 tahun, menyebabkan kes ini lebih jarang berlaku.

“Prosedur ini kompleks dan fisioterapi selepas pembedahan amat penting kepada pesakit berkenaan. Ia boleh berlaku lagi jika pesakit tidak mengikuti sesi fisioterapi sepenuhnya,” katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 3:26am
d