global

Jatuh hempas rumah

Oleh AFP

Manila: Sekurang-kurangnya 10 orang termasuk tiga kanak-kanak maut selepas pesawat kecil terhempas di atas rumah di utara ibu negara Filipina semalam.

Pesawat dua enjin Piper 23 Apache dikendalikan syarikat Lite Air Express itu terhempas sejurus berlepas di Plaridel, menyebabkan semua lima penumpangnya maut selain tiga kanak-kanak, ibu dan nenek mereka di dalam kediaman terbabit, kata Superintenden Julio Lizardo.

“Kami terpaksa mengorek di celah puing dan runtuhan sebelum menemui mayat mangsa,” katanya.

Ketika nahas, pesawat itu yang turut membawa dua juruterbang dalam penerbangan ke Laoag di barat laut Luzon.

“Insiden berlaku sebaik pesawat berkenaan berlepas dari lapangan terbang kecil berhampiran,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP), Eric Apolonio.

Semua pesawat dikendalikan Lite Air Express digantung sementara siasatan diselesaikan, katanya.

“Siasatan mendedahkan kapal terbang itu berlepas dari landasan di lapangan terbang Plaridel dan terhempas di kawasan kediaman,” kata jurucakap polis Filipina, Ketua Superintendan John Bulalacao menerusi mesej teks.

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 3:28am
d