global

Tolong cari Daphne

Oleh AFP

KELAB renang Australia merayu pengunjung pantai mencari itik getah gergasi berwarna kuning, selepas maskot kelab itu ditiup angin ke Lautan Hindi dengan laporan ia kelihatan ratusan kilometer dari lokasi dilancarkan.

Itik getah itu, dimiliki Kelab Renang Cockburn Masters, dilihat kali terakhir di Pantai Coogee di Perth awal pagi 11 Mac lalu ketika penganjur bersiap sedia mengadakan karnival.

Presiden kelab itu, Peter Marr, berkata beliau cuba berenang ke arah itik yang diberi nama Daphne, yang sebesar karavan, tetapi ia bergerak terlalu laju.

“Saya terlalu yakin dengan kemampuan saya dan memandang rendah hasrat Daphne yang mahukan kebebasan dan ia terus membebaskan diri.

“Selepas 50 meter, ia terus pergi. Saya tidak dapat mendekatinya,” kata Marr kepada Perbadanan Penyiaran Australia semalam.

Kelab itu menyiarkan rayuan di Facebook kepada orang ramai supaya turut sama mencari itik itu, dengan ganjaran pas percuma ke acara tahun depan selain peralatan renang jika ia dikembalikan.

“Kami menjangka menerima nota tebusan. Kami akan mencari mereka, jika mereka mencari kami,” katanya, menambah Daphne bernilai Aus$900 (RM2,716). – AFP

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 9:09pm
d