global

10 hari buru badak sesat

Oleh AFP

BADAK air sesat yang merayau di pedalaman Mexico ditangkap selepas usaha memburu selama 10 hari dan ditempatkan semula di kawasan perlindungan hidupan liar.

Dinamakan ‘Tyson’ oleh penduduk tempatan, haiwan itu mempunyai ramai peminat malah mempunyai laman Facebook sendiri, selepas muncul secara misteri beberapa minggu lalu di kawasan pedalaman di Las Choapas, di negeri Veracruz.

Namun dengan penduduk tempatan keluar beramai-ramai mengambil gambar Tyson, memberi ia makan malah memeliharanya, pihak berkuasa alam sekitar Mexico, Profepa, bimbang akan berlaku tragedi.

Badak air Nile dikenali bahaya dan diketahui pernah menyerang malah membaham manusia.

“Disebabkan ia adalah spesis eksotik berasal dari Afrika dan kehadirannya di perbandaran Las Choapas mendatangkan bahaya kepada penduduk dan ekosistem, Profepa melancarkan operasi khas untuk menempatkan ia semula di lokasi selamat,” kata pihak berkuasa dalam kenyataan.

Tidak dapat dipastikan bagaimana Tyson yang seberat 600 kilogram dan dipercayai berusia tiga tahun, sesat di Mexico.

Penduduk tempatan membuat spekulasi ia mungkin terlepas daripada koleksi haiwan peliharaan eksotik raja dadah.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 11:44pm
d