global

Pengebom Texas letup diri

Oleh Agensi

Washington: Lelaki yang disyaki sebagai pengebom bungkusan di Austin, Texas, terbunuh selepas meletupkan dirinya dalam kereta ketika polis cuba menahannya dekat sebuah hotel bajet semalam.

Menurut AFP, lelaki itu disyaki terbabit dalam lima serangan bom bungkusan yang membunuh dua orang dan mencederakan enam lagi di Austin sejak 2 Mac lalu. Semua mangsa berketurunan Afrika atau Hispanic.

Menurut media Amerika Syarikat, pengebom itu lelaki berkulit putih berusia 24 tahun.

Ketua Polis Austin, Brian Manley berkata, polis menggunakan rakaman CCTV, data telefon bimbit dan laporan saksi sebelum berjaya mengesan lelaki terbabit dalam sebuah kereta dekat sebuah hotel di utara Austin.

Ketika menunggu pasukan bantuan tiba, lelaki berkenaan cuba memandu kenderaannya menyebabkan polis mengepungnya daripada memasuki lebuh raya.

Lelaki itu kemudian meletupkan bom, membunuh dirinya ketika polis menghampiri untuk menahannya.

Menurut laporan Daily Mail, kematian lelaki itu berlaku beberapa jam selepas CBS menyiarkan rakaman CCTV menunjukkan dia di pejabat Fed-Ex Austin, menghantar dua bungkusan kira-kira 7.30 malam, Isnin lalu.

Satu bungkusan meletup ketika digerakkan mesin tali sawat di pusat penyisihan FedEx di San Antonio.

Satu lagi ditemui di pusat pengumpulan bungkusan dekat lapangan terbang Austin yang kemudian disahkan mengandungi bom.

Dalam lima letupan sebelum ini, bungkusan mengandungi bom diterima mangsa dan ia meletup apabila dibuka.

Disiarkan pada: March 22, 2018 @ 2:12am
d