global

16 budak terbunuh

Oleh AFP

Idlib: Sekurang-kurangnya 16 kanak-kanak terbunuh akibat serangan udara di perkampungan Kfar Batkeeh, wilayah Idlib, Syria, ketika keluar dari sekolah, kelmarin.

Kanak-kanak terbabit berusia antara tujuh hingga 10 tahu, antara 20 penduduk yang maut akibat serangan di wilayah dikuasai pemberontak Syria itu.

Mereka berlindung dalam gua ketika serangan udara dan berada di dalam gua berkenaan ketika ia dibom.

Menurut pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, dianggarkan sekurang-kurangnya 20 terbunuh dalam serangan udara itu.

Idlib ialah wilayah terbesar dan paling ramai penduduk yang masih dikuasai penentang rejim Presiden Bashar al-Assad.

Tidak dapat dipastikan sama ada serangan itu dilakukan pesawat tentera Syria atau Russia.

Seorang guru, Abdulrahman al-Omar berkata, murid terbabit bergegas keluar untuk berlindung apabila terdengar pesawat datang.

“Seseorang membawa mereka ke gua berkenaan untuk berlindung apabila ia dibom,” katanya.

Ia adalah kejadian kedua dalam seminggu murid sekolah terbunuh dalam serangan udara di Syria.

Jumaat lalu, serangan udara mengenai sekolah di bandar kuasai penentang di luar Damsyik menyebabkan 15 kanak-kanak dan dua wanita terbunuh.

Sementara itu, pemberontak Harasta di Ghouta bersetuju meninggalkan wilayah itu, manakala dua lagi kumpulan masih bertahan.

Jurucakap kumpulan Ahrar al-Sham di Ghouta, Munzer Fares berkata, melalui perjanjian itu, pemberontak dibenar meninggalkan Ghouta bersama keluarga dan senjata mereka.

Dianggarkan Harasta mempunyai 1,600 anggota serta ribuan anggota keluarga mereka.

Mereka akan dibawa menaiki bas untuk dihantar ke Idlib.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 1:58am
d