global

Saman syarikat kereta sebabkan kematian

Oleh AFP

LOS ANGELES: Ibu bapa pelakon ‘Star Trek’, Anton Yelchin sudah menyelesaikan tuntutan mereka terhadap pembuat kereta milik mendiang anaknya selepas kenderaan itu berundur sendiri dan membunuhnya, kata keluarga itu semalam.

Pelakon kelahiran Russia berusia 27 tahun itu meninggal dunia apabila kenderaan jenis Jeep Grand Cherokee 2015 menghimpitnya di peti surat konkrit kediamannya di Los Angeles pada 19 Jun 2016.

“Ia adalah salah, tiada ibu bapa yang sepatutnya mengebumikan anak mereka sendiri,” kata bapa Yelchin, Victor pada sidang media 2016 ketika mengumumkan tuntutan saman berkenaan.

Peguam ibu bapa Yelchin, Gary Dordick, berkata dana dari penyelesaian yang tidak didedahkan itu akan disalurkan kepada Yayasan Anton Yelchin untuk golongan muda yang sakit dan kurang upaya dalam bidang seni.

Wang penyelesaian juga akan membantu membiayai dokumentari mengenai kehidupan Yelchin, menurut peguam itu.

Fiat Chrysler, pemilik Jeep mengeluarkan kenyataan bahawa syarikat itu gembira selepas mencapai penyelesaian yang baik dan maklumat itu adalah sulit.

Syarikat pembuat kenderaan itu menarik balik kereta itu dan model lain pada April 2016 selepas pegawai penyelaras keselamatan kenderaan AS berkata 117 kemalangan dan 28 kecederaan dikaitkan dengan kenderaan yang bergerak sendiri walaupun pemandu menyangka mereka sudah menguncinya.

Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Kebangsaan Amerika Syarikat berkata masalah itu berkaitan dengan reka bentuk pergerakan gear automatik transmisi kereta berkenaan.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 11:46am
d