global

Bila 'bisu' lebih berkuasa

Oleh Daily Mail

Washington: Seorang pelajar yang terselamat dalam kejadian serangan yang mengorbankan 17 pelajar di sekolahnya pada 14 Februari lalu mengejutkan peserta bantahan March For Our Lives apabila memilih diam selama hampir lima minit ketika memberi ucapannya menggesa kawalan senjata api diperketat.

Emma Gonzalez memberi ucapan selama enam minit 20 saat - tempoh diambil Nikolas Cruz, 19, untuk menembak mati 17 rakannya dan mencederakan 15 yang lain menggunakan raifal AR-15 di sekolah di Parkland, Florida itu.

Cruz yang ditangkap tidak lama selepas itu didakwa di Florida atas 17 tuduhan bunuh.

Emma mengejutkan orang ramai apabila tiba-tiba mendiamkan diri ketika ucapannya kelmarin menyebabkan mereka mula menjerit memberi kata-kata sokongan kerana menyangka dia hilang kata-kata disebabkan emosi.

Bagaimanapun, selepas kira-kira lima minit kedengaran bunyi penggera dan dia mula bercakap semula.

“Enam minit 20 saat berlaku sejak saya menaiki pentas ini. Itulah tempoh diambil penyerang sebelum dia berhenti menembak, meninggalkan senjatanya dan menyertai pelajar yang melarikan diri sebelum hilang sejam sehingga akhirnya berjaya ditahan.

“Pertahankanlah nyawa kamu sebelum orang lain terpaksa melakukannya untuk kamu,” katanya mengakhiri ucapannya.

Kejadian tembakan di Parkland itu mencetuskan perdebatan mengenai kawalan senjata api yang membawa kepada bantahan besar-besaran March For Our Lives.

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 3:07am
d