global

Abe mohon maaf skandal jual tanah

Oleh Reuters

Tokyo: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe sekali lagi memohon maaf semalam kerana menyebabkan kebimbangan dan kehilangan keyakinan rakyat terhadap kerajaan, susulan dakwaan skandal kronisme dan usaha menyembunyikannya.

Penunjuk perasaan menggesa Abe meletak jawatan, manakala polis meningkatkan keselamatan di luar lokasi persidangan tahunan parti pemerintah Parti Liberal Demokratik di Tokyo semalam.

Dalam ucapan ketika persidangan berkenaan, Abe sekali lagi menekankan hasratnya untuk meminda perlembagaan yang menghalang Jepun daripada berperang yang dirangka Amerika Syarikat.

Abe kini berdepan krisis politik terbesar sejak berkuasa pada Disember 2012 susulan dakwaan penjualan tanah kerajaan dengan diskaun tinggi kepada pengendali sekolah yang mempunyai hubungan dengan isterinya.

“Masalah ini menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran. Sebagai ketua kerajaan, saya rasa amat bertanggungjawab dan memohon maaf kepada rakyat,” katanya di persidangan itu.

Abe juga menjanjikan fakta berhubung skandal itu dijelaskan secara terperinci dan usaha menghalang kes sama berulang tetapi tidak menyatakan sebarang niat untuk melepaskan jawatannya.

Abe menafikan dia atau isteri campur tangan dalam jualan itu atau cuba mengubah dokumen berkaitan.

Tinjauan awam pada hujung minggu lalu menunjukkan sokongan terhadap kabinet Abe menjunam sehingga ke paras 31 peratus dengan majoriti warga Jepun beranggapan dia bertanggungjawab dalam skandal berkenaan.

Disiarkan pada: March 26, 2018 @ 3:10am
d