global

'Hadiah' tahun ketiga

Oleh AFP

Riyadh: Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan dua lagi cedera selepas tentera Arab Saudi memusnahkan tujuh peluru berpandu pemberontak Houthi pada ambang ulang tahun ketiga campur tangan pakatan tentera diketuai Riyadh di Yaman.

Ketiga-tiga mangsa warga Mesir yang menjadi mangsa serpihan peluru berpandu yang jatuh dari langit di Riyadh, kata pihak berkuasa. Penduduk melaporkan letupan kuat dan pancaran di langit sejurus sebelum tengah malam.

Pemberontak Houthi yang disokong Iran melepaskan tiga peluru berpandu ke arah Riyadh, manakala empat yang lain menyasarkan Khamis Mushait, Jizan dan Najran - semuanya kawasan berpenduduk tinggi.

Jurucakap pakatan tentera Arab Saudi, Turki al-Malki berkata: “Tindakan agresif dan bermusuh Houthi membuktikan rejim Iran terus menyokong kumpulan bersenjata itu dari segi ketenteraan.

“Penembakan pelbagai peluru berpandu balistik terhadap bandar tidak boleh dipandang ringan.”

Sementara itu, rangkaian televisyen Houthi, Al-Masira mendakwa pemberontak menyasarkan Lapangan Terbang King Khalid di Riyadh dan beberapa yang lain di selatan negara itu.

Pemberontak Houthi sudah menembak puluhan peluru berpandu ke Arab Saudi sejak tahun lalu, namun yang terbaru ini mungkin melihat kempen ketenteraan dipertingkat di Yaman.

Serangan menyasarkan lapangan terbang antarabangsa Riyadh pada 4 November lalu melihat Saudi mempertingkat sekatan terhadap Yaman yang sudah sedia berada di ambang kebuluran.

Disiarkan pada: March 27, 2018 @ 7:51am
d