global

10 ditahan terbabit 'balas rogol'

Oleh AFP

Islamabad: Polis di tengah Pakistan menahan 10 orang dari dua keluarga selepas mengarahkan seorang wanita dirogol sebagai balasan kerana adik wanita itu merogol saudara perempuan keluarga pertama.

Menurut polis, kejadian mengejutkan itu berlaku pada 20 Mac lalu di kampung Pir Mahal, di bandar Toba Tek Singh, wilayah Punjab.

“Seorang remaja lelaki ditangkap merogol gadis 16 tahun menyebabkan seluruh penduduk kejiranan itu berkumpul mendesak suspek dibunuh.

“Keluarga remaja lelaki itu kemudian membuat tawaran kepada keluarga gadis itu membenarkan anggota keluarga perempuan mereka diperkosa sebagai balasan bagi menyelesaikan kes itu,” kata seorang anggota polis, Naeem Yousuf kepada AFP.

Menurutnya, keluarga gadis itu kemudian memilih seorang wanita berusia 40 tahun dan mangsa dirogol oleh abang gadis berkenaan.

Kedua-dua keluarga berkenaan kemudian membuat surat perjanjian mengenai penyelesaian itu menyatakan mereka akan melupakan kejadian itu, tidak berdendam dan tidak akan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, perjanjian itu diketahui seorang anggota polis yang kemudiannya membuat laporan kepada pegawai atasan.

Polis kemudian mengarahkan 10 orang daripada kedua-dua keluarga yang menandatanganinya, ditahan dan didakwa. - AFP

Disiarkan pada: March 27, 2018 @ 8:00pm
d