global

Ahok kekal di penjara, mahkamah tolak rayuan

Oleh Reuters

Jakarta: Mahkamah Agung Indonesia menolak rayuan bekas Gabenor Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok untuk semakan sabitan kerana menghina Islam, justeru ahli politik itu akan terus menjalani hukuman penjara dua tahun.

Mei tahun lalu, sebuah mahkamah rendah menjatuhkan hukuman penjara terhadap Ahok bagi kesalahan menghina Islam, selepas video diubah dan dialih bahasa salah, tersebar di media sosial menunjukkannya menghina al-Quran.

Ketika itu, Ahok yang beragama Kristian, berkempen untuk pemilihan semula sebagai Gabenor Jakarta.

Namun, pertubuhan Islam menganjurkan perhimpunan besar-besaran menggesa beliau disingkirkan dan mendesak orang ramai mengundi memilih calon beragama Islam.

Ahok yang kalah dalam pilihan raya dan dipenjarakan, memfailkan semakan perundangan kesnya bulan lalu.

“Semua alasan rayuan dikemukakan pasukan pembelaan Ahok ditolak hakim,” kata jurucakap mahkamah, Suhadi.

Individu yang mengubah suai video berkenaan dipenjara 18 bulan akhir tahun lalu selepas mahkamah mendapati dia bersalah melanggar undang-undang teknologi maklumat.

Peguam Ahok cuba menggunakan alasan itu untuk berhujah sabitan terhadap Ahok adalah lemah.

Disiarkan pada: March 28, 2018 @ 2:08am
d