global

Rentung dimamah bom napalm

Oleh Agensi

Beirut: Kejayaan rejim Syria dengan bantuan Russia hampir menawan Ghouta sepenuhnya perlu dibayar dengan pengorbanan orang awam yang maut dalam keadaan mengerikan akibat serangan udara setiap hari.

Antaranya, hampir 40 orang awam di Arbin mati hangus dalam ruang perlindungan bawah tanah akibat bom napalm yang diharamkan penggunaannya, hujung minggu lalu.

Gambar yang diedarkan melalui internet oleh Jabatan Pertahanan Awam Syria dan kumpulan penyelamat dikenali sebagai White Helmets, menunjukkan anggota penyelamat mengeluarkan mayat rentung.

Arbin di Ghouta dikuasai kumpulan penentang Failaq al-Rahman dan bandar itu sudah dikosongkan minggu lalu, selepas penentang mencapai persetujuan damai dengan Syria, demi keselamatan orang awam.

Menurut laporan AFP, kira-kira 125 penduduk, sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak, berlindung dalam kubu bawah tanah itu, apabila bom digugurkan.

Pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berpangkalan di Britain mendakwa serangan itu dilakukan pesawat Russia.

Pasukan penyelamat Jabatan Pertahanan Awam Syria mendakwa bom digugurkan pesawat Syria itu mengandungi gas napalm yang mencetuskan api besar dan amat panas.

Undang-undang antarabangsa mengharamkan penggunaan napalm dalam perang.

Sabtu lalu, Russia menafikan ia menggunakan napalm dalam serangan udara di Ghouta yang menyebabkan 37 orang awam terbunuh.

Al-Jazeera melapokan, aktivis di bandar itu, Izzet Muslimani, berkata, ramai cedera akibat melecur teruk dalam serangan itu.

Ada juga laporan menyatakan Douma, bandar terakhir masih dikuasai penentang di Ghouta, diserang menggunakan bom mengandungi fosforus putih yang menghujani bandar.

Disiarkan pada: March 29, 2018 @ 1:22am
d