global

10 maut, bangunan runtuh

Oleh AFP

SEKURANG-KURANGNYA 10 orang maut apabila sebuah bangunan usang setinggi empat tingkat runtuh selepas dirempuh sebuah kereta yang terbabas, kata polis hari ini.

Jurucakap polis, Harinarayanchari Mishra berkata, kejadian berlaku di Indore, New Delhi pada petang semalam apabila sebuah kereta terbabas dan melanggar tiang bangunan yang berusia 100 tahun itu.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan keseluruhan bangunan itu runtuh.

“Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan 12 mangsa daripada sisa runtuhan, tetapi 10 daripada mereka sudah meninggal dunia. Dua lagi mangsa dirawat di hospital,” katanya.

Beberapa gambar di lokasi kejadian menunjukkan kebanyakan pasukan penyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang cedera teruk dan berlumuran darah.

Pasukan penyelamat juga menggunakan kren dan jentera berat untuk membersihkan sisa runtuhan.

Kematian akibat runtuhan bangunan sering berlaku di India susulan kualiti pembinaan dan tahap keselamatan yang buruk.

Pakar memberitahu, kebanyakan pemilik atau syarikat pembinaan sering mengurangkan kualiti bahan binaan untuk menjimatkan kos sekali gus menjadikan bangunan tidak selamat.

Pada September tahun lalu, seramai 30 orang terbunuh selepas sebuah apartmen berusia 117 tahun di Mumbai, runtuh. - AFP

Disiarkan pada: April 1, 2018 @ 3:20pm
d