global

Messenger lihat, tapis dulu

Oleh Agensi

California: Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg buat kali pertama mengaku media sosial itu melihat semua kandungan pesanan dan perbualan dihantar pengguna melalui aplikasi Messenger.

Facebook yang menggunakan perisian, memeriksa imej dan teks yang dihantar terlebih dahulu bagi memastikan mematuhi syarat keselamatan serta garis panduan ditetapkannya.

Meskipun langkah untuk kebaikan, namun pengakuan Zuckerberg pasti menyebabkan keresahan dan menambahkan kebimbangan pengguna mengenai apa diketahui rangkaian media sosial mengenai mereka.

Ia berikutan skandal syarikat konsultan Cambridge Cambridge Analytica (CA) mengumpul data lebih 50 juta pengguna Facebook tanpa pengetahuan mereka.

Namun, semalam, Facebook Inc mengakui jumlah data pengguna yang maklumat peribadi mereka dikumpul CA bukannya 50 juta, tetapi 87 juta, kebanyakannya di Amerika, tanpa pengetahuan mereka.

Maklumat itu digunakan untuk menyasar pengundi di Amerika berdasarkan pemprofilan psikologi, dengan iklan politik yang menyebarkan maklumat palsu.

Menurut Daily Mail, pendedahan Zuckerberg mengenai Messenger ‘melihat’ semua pesanan dihantar itu disambut dengan pelbagai reaksi di media sosial, namun ramai yang bimbang data peribadi mereka terdedah serta hak peribadi mereka ‘diceroboh’.

Bloomberg melaporkan, menurut Messenger, ia tidak menggunakan data daripada aplikasi pesanan itu yang disaring untuk kegunaan pengiklanan.

Menurut Messenger, ia menggunakan aplikasi yang sama dengan Facebook bagi menghalang pesanan ‘jahat’.

“Sebagai contoh, melalui Messenger, apabila anda menghantar gambar, sistem kami secara automatik menyaringnya menggunakan teknologi padanan gambar bagi memastikan ia bukan membabitkan gambar lucah kanak-kanak.

“Apabila anda menghantar alamat laman web, ia akan mengesan sama ada alamat itu mengandungi virus atau tidak,” kata jurucakap Messenger.

Zuckerberg, 33, ketika temu bual dengan pengarang Vox, Ezra Klein berkata: “Saya menerima panggilan daripada kakitangan saya memaklumkan sistem kami menyekat cubaan menghantar pesanan melalui Messenger mengenai pembersihan kaum di Myanmar.

“Bagi kes itu, sistem kami mengesan apa yang berlaku dan kami menghentikan penyebaran pesanan seperti itu.”

Disiarkan pada: April 6, 2018 @ 6:26am
d