global

Dua maut di hujung peluru Israel

Oleh Agensi

Gaza: Askar Israel menembak mati dua penduduk Palestin manakala 250 lagi cedera ketika beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di sepanjang sempadan Gaza-Israel hari ini, kata kementerian kesihatan Palestin.

Seorang lelaki dikenali sebagai Shadi Shabat, 38, terbunuh dalam kejadian di timur Gaza.

Sebelum itu, seorang lagi lelaki berusia 29 tahun mati ditembak di timur Khan Yunis di selatan Gaza.

Kejadian terbaru itu menjadikan jumlah kematian penduduk Palestin dalam bantahan yang masuk hari ketujuh itu meningkat kepada 22 orang.

Bantahan itu diadakan oleh penduduk Palestin bagi mendesak tanah mereka yang dirampas rejim Zionis diserahkan kembali kepada mereka.

Jumlah penunjuk perasaan yang berhimpun pada hari ini lebih besar berbanding hari sebelumnya tetapi lebih rendah pada hari pertama bantahan.

Penunjuk perasaan membakar timbunan tayar untuk membentuk asap tebal bagi melindungi mereka daripada dilihat dari jauh oleh penembak tepat tentera Israel.

Israel menempatkan tenteranya di kawasan bukit di seberang sempadan dan mereka memasang kipas gergasi setinggi dua meter bagi menolak asap dari tayar yang dibakar.

Disiarkan pada: April 6, 2018 @ 10:34pm
d