global

'I'm back' - Schwarzenegger

Oleh AFP

PELAKON filem aksi, Arnold Schwarzenegger dibenarkan pulang ke rumahnya di Los Angeles dan menunjukkan semangat yang tinggi untuk kembali pulih seperti sediakala selepas menjalani pembedahan.

Bintang filem aksi ‘Terminator’ dan ‘Predator’ serta bekas Gabenor California berusia 70 tahun itu sebelum ini menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Cedars-Sinai untuk mengganti injap jantung apabila berlaku komplikasi, menyebabkan pakar bedah bertugas terpaksa melakukan prosedur kecemasan.

Wakilnya, Daniel Ketchell dalam satu kenyataan di Twitter mengumumkan bahawa Schwarzenegger telah dibenarkan pulang semalam dan bersemangat untuk kembali pulih.

Bekas juara Mr Universe itu pada 1997 menjalani pembedahan kecil untuk memasang injap pada jantungnya berikutan satu komplikasi ringan dan berkata, ia tidak ada kena mengena dengan pengambilan steroid.

“Injap yang dipasang pada 1997 itu bukan untuk satu tempoh kekal dan telah mencapai tempoh luput jadi beliau memutuskan untuk menjalani pembedahan bagi menukarnya kepada injap baru,” kata Ketchell selepas pembedahan terbabit berjaya dilakukan.

Schwarzenegger turut memuat naik beberapa kenyataan di Twitter semasa masih berada di pusat perubatan berkenaan Isnin lalu untuk memaklumkan mengenai keadaan dirinya.

“Ia benar! Saya akan kembali (It’s true: I’m back!” katanya dengan menggunakan ungkapan terkenal yang sering diucapkan dalam filem-filem lakonannya, antaranya Terminator, Commando, Raw Deal, Twins dan Last Action Hero. - AFP

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 11:36am
d