global

FBI geledah pejabat peguam Trump

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin mengecam siasatan terhadap dirinya sebagai ‘memalukan’ dan seperti ‘memburu ahli sihir’ selepas Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyerbu pejabat peguam peribadi dan rakan baiknya.

Ejen FBI merampas fail di pejabat Michael Cohen termasuk bayaran AS$130,000 (RM502,940) kepada aktres filem lucah yang dibuatnya sebelum pilihan raya presiden pada 2016.

Aktres berkenaan mendakwa dia pernah menjalinkan hubungan seks dengan Trump.

Peguam Cohen, Stephen Ryan berkata, serbuan itu sebahagian daripada siasatan bebas yang menyiasat kaitan antara Russia dengan kempen pilihan raya Trump.

Di Rumah Putih, Trump yang berang mengecam serbuan terhadap Cohen itu.

“Ia satu situasi memalukan. Ia benar-benar seperti kempen memburu ahli sihir yang saya katakan sejak sekian lama. Ia serangan ke atas negara kita dalam erti kata sebenar,” katanya kepada media.

Serbuan itu dilakukan ketika siasatan kini ditumpukan terhadap lingkungan Trump.

Siasatan yang diketuai penasihat khas, Robert Mueller meneliti kemungkinan pakatan sulit antara kempen Trump dan Moscow serta dakwaan tingkah laku tidak bermoral pakar kempen Trump dan usaha Rumah Putih menghalang siasatan itu.

Trump menuduh Mueller mengawasi siasatan berat sebelah yang dikendalikan Demokrat.

Menurut akhbar The New York Times, Mueller juga menyiasat bayaran AS$150,000 (RM580,315) oleh jutawan keluli Ukraine, Victor Pinchuk dibuat ketika kempen pilihan raya kepada yayasan Trump untuk pembangunan hartanah AS. - AFP

Disiarkan pada: April 11, 2018 @ 7:07am
d