global

Kaji semula tuduhan terhadap Kevin Spacey

Oleh Reuters

PEJABAT Peguam Daerah Los Angeles akan mengkaji semula pertuduhan serangan seksual pada 1992 terhadap pelakon Hollywood, Kevin Spacey.

Pejabat Sherif Daerah Los Angeles dalam satu kenyataan semalam berkata, pertuduhan berkenaan membabitkan seorang lelaki dewasa.

Menurut kenyataan itu, jabatan sherif terbabit mula menyiasat perkara itu sejak 11 Disember dan hasil siasatan telah diserahkan kepada peguam daerah minggu lalu, lima bulan selepas Spacey disingkirkan dari membintangi siri drama politik Netflix. House of Cards susulan dakwaan berkenaan.

Jurucakap Peguam Daerah Los Angeles, Greg Risling berkata, kes itu telah diterima daripada Pejabat Sherif Daerah Los Angeles pada 5 April lalu.

“Kami sedang mengkaji semula pertuduhan itu,” katanya menerusi emel.

Jurucakap aktor terbabit, Laura Johnson bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen ketika dihubungi.

Fakta dan kejadian sebenar membabitkan pertuduhan seksual ke atas Spacey itu masih tidak diketahui namun lebih daripada 30 lelaki mendakwa menjadi mangsa perlakuan seksual Spacey tanpa kerelaan masing-masing.

Spacey, pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Akademi menerusi lakonan hebat dalam filem American Beauty adalah antara individu paling terkenal di Hollywood yang berdepan dengan dakwaan salah laku seksual selepas penerbit filem Harvey Weinstein.

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 3:53pm
d