global

Serangan Syria: Tindakan haram, akan gagal

Oleh AFP

SERANGAN dilancarkan pasukan tentera Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Britain ke atas Syria menerima kecaman media negara itu yang menyifatkan ia sebagai satu tindakan haram serta bakal menemui kegagalan.

Agensi berita SANA melaporkan, serangan terbabit menyalahi undang-undang antarabangsa dan dianggap sebagai satu pengkhianatan terhadap komuniti sejagat.

Letupan besar dilaporkan kedengaran di sekitar Damsyik awal pagi tadi, beberapa ketika selepas pengumuman mengenai serangan ke atas senjata kimia Syria itu dibuat oleh AS, Perancis dan Britain.

Wakil AFP di Damsyik melaporkan, beberapa letupan kedengaran secara berturut-turut pada 4 pagi waktu tempatan, diikuti oleh bunyi pesawat.

Asap tebal juga dilihat menyelubungi ruang udara bahagian barat dan timur ibu negara.

Media tempatan turut menyiarkan foto memaparkan kepulan asap berwarna kemerah-merahan dan berkata, sistem pertahanan udara telah diaktifkan untuk menangkis serangan itu.

SANA melaporkan, serangan bersama itu disasarkan ke atas pusat penyelidikan di timur laut ibu negara serta beberapa pangkalan tentera di sekitar Damsyik, namun peluru berpandu yang disasarkan ke atas depoh tentera di Homs berjaya dipintas. - AFP

Berita berkaitan

Amerika, Perancis, Britain serang Syria

Syria tembak jatuh 13 peluru berpandu

US kata serangan sudah selesai

Disiarkan pada: April 14, 2018 @ 12:43pm
d