global

Arab Saudi beri amaran keras

Oleh AFP

Riyadh: Arab Saudi bersama pakatan tenteranya yang memerangi pemberontak Houthi di Yaman memberi amaran ‘tindak balas menyakitkan’ jika pemberontak melancarkan serangan baru terhadap negara itu menggunakan dron dibekalkan Iran.

Minggu lalu, Riyadh menembak jatuh dua dron di selatan Arab Saudi serta memintas peluru berpandu balistik yang dibedil dari wilayah dikuasai pemberontak di Yaman.

“Jika Houthi berterusan menyasarkan kemudahan industri atau kawasan penempatan, tindak balas kami adalah ‘keras dan menyakitkan’,” kata jurucakap tentera pakatan, Turki al-Malki, dalam sidang media di sini, semalam.

Beliau turut menunjukkan dikatakan serpihan dron yang ditembak jatuh minggu lalu.

Pemberontak tidak menghiraukan amaran itu apabila membedil peluru berpandu baru ke wilayah Najran semalam, namun menurut laporan lapor stesen televisyen Al-Ekhbariya TV, ia dipintas tentera udara Arab Saudi.

Menurut Malki, lapangan terbang di Sanaa yang ditawan pemberontak digunakan sebagai pangkalan tentera bagi mengatur serangan dron.

Menurut Arab Saudi, dron terbabit dihasilkan di Iran kerana pemberontak Houthi tidak memiliki keupayaan untuk menghasilkan pesawat seumpama itu.

Iran menyokong Houthi yang menawan Sanaa pada 2014, memaksa tentera pakatan diketuai Arab Saudi campur tangan menyerang pemberontak itu pada tahun berikutnya.

Namun Teheran berulang kali menafikan membekalkan senjata kepada Houthi.

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 1:53am
d