global

Urals Ripper tak sempat kerat mayat

Oleh Daily Mail

Moscow: Seorang pembunuh bersiri merogol dan membunuh wanita berusia 30 tahun namun gagal memotong mayat mangsa untuk mengeluarkan rahimnya sebelum menyembunyikan mayat di kawasan hutan di pergunungan Ural, Russia.

Bapa beranak dua, Alexey Falkin, 34, mengaku menggunakan peralatan elektrik menyebabkan Irina Vakhrusheva pengsan, sebelum menikamnya mati.

Malah dia mengaku menggunakan pisau atau pemutar skru untuk membunuh sekurang-kurangnya tiga wanita serta merogol lapan yang lain termasuk dua budak perempuan bawah umur.

Dalam kejadian membawa kepada penangkapannya, Falkin menyerang Irina kerana kononnya ‘tidak mengendahkannya’ ketika wanita itu berjalan ke rumah rakannya tidak jauh dari kediamannya sendiri.

Falkin memberitahu polis, ketika itu dia sudah seharian mencari mangsa untuk dibunuh.

Mangsa sempat menjerit kepada dua orang awam yang melalui kawasan itu, namun mereka tidak mengendahkannya sebelum kebetulan telefonnya berbunyi dan dia sempat menjawab dengan menjerit meminta bantuan.

Falkin kemudian merogol dan membunuhnya sebelum memotong badan mangsa untuk mengeluarkan rahimnya tetapi gagal memasukkan mayat wanita terbabit ke dalam kereta untuk disembunyikan di kawasan hutan.

Polis berkata, mayat mangsa mempunyai 40 kesan tikaman. Falkin ditangkap selepas dikesan kamera keselamatan tertutup.

Disiarkan pada: April 18, 2018 @ 12:22pm
d