global

21 maut bas jatuh jambatan

Oleh AFP

New Delhi: Sekurang-kurangnya 21 orang maut selepas trak yang membawa rombongan ke satu majlis perkahwinan di tengah negeri Madhya Pradesh terbabas dan terhumban dari jambatan kelmarin.

Polis memberitahu, trak yang membawa lebih 40 penumpang itu terbabas dan melanggar penghadang jambatan sebelum terhumban setinggi 20 meter ke dalam sungai.

Jurucakap polis, Vishal Sharma berkata, seramai 21 lagi penumpang cedera termasuk ramai yang parah dalam nahas yang berlaku kira-kira 560 kilometer dari bandar Bhopal.

“Sekumpulan anggota polis dan perkhidmatan kecemasan dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa yang cedera.

“Sebahagian besar daripada mereka yang dirawat di hospital berada dalam keadaan parah,” katanya kepada AFP.

Bagaimanapun, setakat ini, punca nahas masih belum ketahui, namun Sharma berkata, trak itu dipercayai dipandu laju.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), India mempunyai jalan raya paling merbahaya di dunia apabila 200,000 mangsa dilaporkan maut setiap tahun.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 12:59am
d