global

'Demam' perkahwinan Putera Harry melanda Windsor

Oleh Agensi

WINDSOR: Daripada biskut sehinggalah bir dan koleh tradisi, ahli perniagaan dan penduduk di sini memanfaatkan banyak peluang daripada demam perkahwinan antara Putera Harry dan aktres Meghan Markle yang berlangsung sebulan lagi.

Beberapa jam selepas Harry melamar Markle pada November lalu, kedai dalam talian, Jewlr.com mencipta cincin pertunangan replika ‘The Duchess.’

Keterujaan terhadap kot putih dipakai Markle susulan pertunangan itu menyebabkan laman web perekanya dari Kanada, Line, gagal diakses.

Tujuh tahun sejak perkahwinan diraja profil tinggi terakhir antara Putera William dan Catherine Middleton, rakyat Britain kini bersiap sedia untuk meraikan acara nasional negara itu.

Koleksi pinggan mangkuk diraja segera dilancarkan, menggunakan kaedah berusia 250 tahun dengan harga pasaran moden.

Cawan kopi berharga £25 (RM135.35), sementara pinggan ditetapkan pada £49 (RM270.52) dan biskut mentega £5.95 (RM32.85).

Koleksi itu dicipta Royal Collection Trust yang menguruskan koleksi seni diraja dan perhiasan di pelbagai istana.

Namun memorabilia perkahwinan diraja jauh melampaui cendera hati rasmi.

Kilang bir menempatkan perkahwinan diraja berlangsung 19 Mei, mencipta minuman baharu sementara ‘Crown Jewels Heritage Condoms’ dijual pada harga £10 (RM55.21) sekotak dengan memaparkan imej pasangan bahagia itu.

Selain memorabilia, majalah cendera hati dan fesyen, peminat diraja juga dijangka membelanjakan lebih banyak untuk makanan dan minuman dengan pub di kawasan sekitar diberi kebenaran menutup lebih lewat pada hujung minggu ketika perkahwinan berlangsung.

Semua itu dijangka menyumbang anggaran £120 juta (RM662.56 juta) kepada ekonomi, menurut kajian Pusat Penyelidikan Peruncitan.

Perkahwinan diraja itu secara keseluruhan dapat menyumbang lebih £1 bilion (RM5.52 bilion) kepada United Kingdom tahun ini, menurut firma perundingan Brand Finance termasuk £300 juta (RM1.66 bilion) dalam pelancongan.

Disiarkan pada: April 19, 2018 @ 3:38pm
d