global

Pesawat Malindo Airlines tergelincir di Nepal

Oleh AFP

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kathmandu terpaksa ditutup hari ini selepas pesawat Boeing 737 milik Malindo Airlines yang membawa 139 penumpang tergelincir di landasan ketika berlepas.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu namun semua penerbangan menghala ke ibu negara Nepal terpaksa dilencong sementara pihak berkuasa cuba mengalihkan pesawat yang tersekat di dalam lumpur.

Sehingga kini tiada maklumat diterima berhubung tempoh penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan itu.

Jurucakap lapangan terbang terbabit, Prem Nath Thakur berkata, penerbangan ke Kuala Lumpur itu hampir berlepas lewat malam tadi apabila juruterbang mengesan masalah teknikal pada pesawat dan membatalkan penerbangan.

Pesawat berkenaan tergelincir ke bahagian berumput dan tersekat di dalam lumpur kira-kira 30 meter dari landasan.

“Semua yang berada dalam pesawat itu terselamat,” kata Thakur sambil menambah, punca kejadian masih belum dikenal pasti.

Insiden terbabit berlaku sebulan selepas tragedi pesawat US-Bangla Airways terhempas dan meragut 51 nyawa di lapangan terbang itu.

Sementara itu, pada Mac 2015, pesawat milik Turkish Airlines terbebas di landasan ketika mendarat, menyebabkan lapangan terbang berkenaan ditutup selama empat hari.

Negara Himalaya itu memiliki satu daripada landasan paling terpencil dan sukar di dunia, satu cabaran besar walaupun kepada juruterbang berpengalaman.

Nepal turut memiliki rekod keselamatan udara yang buruk dan penerbangan daripada syarikat berpangkalan di Nepal dilarang melakukan penerbangan di ruang udara negara Kesatuan Eropah.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 2:42pm
d