global

'Peluang akhir' dihukum sebat

Oleh Agensi

Banda Acheh: Beberapa pasangan kekasih dan pesalah didakwa pekerja seks dihukum sebat di khalayak ramai di sini, kemungkinan antara kumpulan terakhir dikenakan hukuman seperti itu susulan pengumuman pemimpin wilayah itu minggu lalu bahawa ia hanya akan dilaksanakan secara tertutup.

Lebih 1,000 orang termasuk puluhan pelancong dari Malaysia dilaporkan menyaksikan hukuman dilaksanakan terhadap kumpulan terdiri daripada tiga lelaki dan lima wanita malah termasuk pelajar kolej di luar sebuah masjid di ibu negeri, Banda Aceh.

Mereka didapati bersalah atas pelbagai kesalahan syariah termasuk berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai atau menawarkan perkhidmatan seks dalam talian, kata pegawai.

Timbalan datuk bandar Banda Aceh Zainal Arifin berkata, pelaksanaan hukuman di khalayak ramai terbaru itu bukan disebabkan berdegil ‘melawan’ peraturan baru supaya ia dijalankan secara tertutup.

“Peraturan itu belum berkuat kuasa dan penjara belum bersedia melaksanakannya, disebabkan itu ia masih dilaksanakan di khalayak ramai.

“Sehingga peraturan baru secara rasmi diguna pakai kami akan meneruskan amalan sedia ada,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 11:27pm
d