global

Penagih korek mata, kerat lidah kanak-kanak

Oleh Daily Mail

New Delhi: Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun dibunuh kejam apabila mayatnya ditemui dalam keadaan mata dikorek, lidah dipotong dan badan penuh dengan kesan hirisan.

Serangan itu berlaku pada 2 April lalu tetapi ia baru dilaporkan media, baru-baru ini, sekali gus mengejutkan India yang sebelum ini gempar dengan peningkatan beberapa kes rogol dan bunuh.

Purshotam Kumar diculik dari rumahnya di flat kos rendah di Delhi sebelum mayatnya ditemui dicampak di tempat pembuangan sampah.

Mayat Kumar ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila matanya dicungkil, lidahnya dipotong dan badannya penuh dengan kesan luka.

Penagih dadah dan kaki botol, Sandeep Singh, 21, yang tinggal berhampiran rumah mangsa ditangkap polis serta mengaku membunuhnya.

Ibu Kumar, Puja Devi, 25, berkata, anaknya hilang ketika dia memasak di rumah dan beberapa jiran melihat suspek berjalan bersama mangsa.

Katanya, dia dan suami terus membuat laporan ke balai polis tetapi anggota polis yang bertugas tidak melakukan apa-apa sebaliknya menyuruh mereka mencari sendiri suspek.

Puja kini mendesak keadilan ditegakkan dan pihak polis bertindak lebih tegas bagi melindungi kanak-kanak serta wanita di negara itu.

“Bila anak-anak kami akan selamat? Saya mahu dia digantung. Dia membunuh anak saya. Saya tidak mahu dia melakukan perkara sama kepada anak orang lain,” jelasnya.

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 3:13am
d