global

Kanggaru betina hilang nyawa dibaling batu

Oleh Daily Mail

Beijing: Seekor kanggaru di sebuah zoo di China mati manakala seekor lagi cedera akibat sering dibaling batu oleh pengunjung yang semata-mata mahu melihat haiwan itu melompat.

Kanggaru betina berusia 12 tahun yang tinggal di Zoo Fuzhou, wilayah Fujian ditemui cedera di kaki akibat dibaling batu dan cebisan konkrit pada 28 Februari lalu sebelum mati beberapa hari kemudian.

Bedah siasat mendapati kanggaru itu turut mengalami kecederaan pecah buah pinggang dan kehilangan darah yang banyak akibat dibaling batu.

Seekor lagi kanggaru jantan yang berasal dari Australia pula cedera di kaki.

Rakaman kamera keselamatan mendapati beberapa pengunjung membaling batu ke dalam kandang haiwan berkenaan semata-mata mahu melihat dan merakamkan aksinya melompat.

Seorang pegawai perubatan di zoo berkenaan, Chen memberitahu, kini tinggal tiga ekor kanggaru di dalam kandang berkenaan.

“Kami membuang semua batu yang terdapat berhampiran kandang berkenaan dan menaikkan papan tanda meminta pengunjung tidak mengganggu serta membaling batu ke arah haiwan.

“Bagaimanapun, terdapat segelintir pengunjung yang masih degil apabila mereka mengutip batu di tempat lain dan membalingnya ke arah haiwan itu,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2018 @ 3:53pm
d