global

Siar 'FB live' belasah kekasih dengan penyapu

Oleh Agensi

Bangkok: Seorang lelaki ditahan polis selepas serangan kejamnya terhadap teman wanitanya disiarkan secara langsung di Facebook, semalam.

The Nation melaporkan, video langsung sepanjang 11 minit itu menunjukkan lelaki terbabit menggunakan penyapu memukul teman wanitanya beberapa kali di bahagian muka dan kepala.

Bangkok Post memetik Timbalan Ketua Polis Bung Kum, Wirachai Songmetta berkata, susulan penangkapannya, suspek, Chaichana Sirichart, 26, diuji positif methamphetamine, didakwa menyebabkan kecederaan, mengurung mangsa secara salah, menaikkan gambar untuk memalukan orang lain di dalam sistem komputer dan penyalahgunaan dadah.

Teman wanitanya, Kuldara Yeesaman, 21, cedera di kepala, muka dan tangan kanan akibat serangan di apartmen yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Kejadian itu dilaporkan kepada polis oleh orang ramai yang menyaksikannya.

Dalam video berkenaan, lelaki itu berulang kali mengatakan Kuldara tidak jujur.

Mangsa cedera teruk dengan darah berlumuran di muka serta lengannya bengkak.

Jurucakap polis Krissana Pattanacharoen berkata, suspek menggunakan penyapu dan alat pengurut wajah untuk memukul teman wanitanya dan memaksa mangsa menggunakan telefon bimbitnya menyiarkan perbuatan berkenaan.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 8:24pm
d