global

Reput lah kau dalam penjara!

Oleh AFP

MAHKAMAH Agung Amerika Syarikat (AS) semalam menolak rayuan seorang lelaki yang dihukum penjara 241 tahun selepas didapati bersalah atas beberapa rompakan bersenjata yang dilakukannya ketika berusia 16 tahun.

Keputusan itu bermakna lelaki berkenaan, Bobby Bostic, 39, yang melakukan beberapa jenayah bersenjata di St Louis, Missouri pada 12 Disember 1995 tidak layak untuk mendapat parol sehingga dia berusia 112 tahun.

Bostic dan seorang rakannya yang berusia 18 tahun melakukan beberapa rompakan bersenjata dalam hari itu termasuk menyerang seorang wanita ketika mencuri kereta mangsa dan menembak seorang lelaki yang membantu memberikan hadiah Krismas kepada keluarga miskin.

Bagaimanapun, semua mangsa terbabit dalam kejadian itu hanya cedera ringan.

Hakim Evelyn Baker yang menjatuhkan hukuman penjara secara berasingan untuk setiap 18 jenayah yang dilakukan pada hari itu menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 241 tahun.

Evelyn turut memberitahu bahawa tertuduh akan meninggal dunia di dalam penjara.

Namun, tidak lama selepas itu Evelyn berkata, hukuman adalah melampau dan dia menyesal membuat keputusan berkenaan.

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 2:10am
d