global

Gaduh, bakar pusat karaoke

Oleh Agensi

Beijing: Seorang lelaki disyaki sengaja menyebabkan kebakaran di sebuah pusat karaoke susulan satu pertengkaran sebelum menggunakan motosikalnya untuk menyekat laluan keluar dalam kejadian yang meragut sekurang-kurangnya 18 nyawa dan mencederakan lima yang lain.

Suspek, Liu Chunlu, 32, ditangkap di sebuah kampung berhampiran selepas pihak berkuasa menawarkan ganjaran 200,000 yuan (RM125,000) kepada sesiapa yang memberikan maklumat sehingga membawa kepada penangkapannya.

Dia turut mempunyai kesan lecuran pada pinggulnya ketika ditahan.

Jabatan keselamatan awam Qingyuan menerusi akaun rasmi Weibo berkata, siasatan awal mendapati kebakaran itu sengaja dimulakan.

Menurut badan penyiaran CCTV, suspek terbabit dalam pergaduhan dan menggunakan motosikal untuk menyekat pintu masuk bangunan itu sebelum menyalakan api.

AFP melaporkan, kebakaran yang berlaku sejurus tengah malam di bangunan tiga tingkat di Yingde itu berjaya dipadamkan sebelum jam 1 pagi (waktu tempatan).

Video tempat kejadian disiarkan Global Times di Twitter menunjukkan api yang marak dengan diperhatikan orang ramai.

Karaoke aktiviti popular di China dengan kebanyakan pusat beli-belah mempunyai bilik kecil untuk orang ramai menyanyikan lagu kegemaran mereka.

Bagaimanapun, kebanyakan pemilik pusat karaoke tidak mementingkan keselamatan bangunan.

Kebakaran di pusat karaoke di Yingde itu hanya mempunyai satu laluan kecil untuk masuk dan keluar.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 3:56am
d