global

Suspek rempuhan didakwa membunuh

Toronto: Seorang lelaki yang memandu sebuah van sebelum merempuh pejalan kaki di Toronto pada Isnin didakwa di sebuah mahkamah di sini hari ini atas 10 tuduhan membunuh.

Alek Minassian, 25, memandu sebuah van putih menyebabkan 10 mangsa maut manakala 15 lagi cedera.

Lelaki itu juga didakwa atas 13 tuduhan cubaan membunuh.

Beberapa mangsa yang terbunuh dan cedera dalam kejadian itu turut dinamakan dalam dokumen di mahkamah manakala sebahagian lagi termasuk pelancong asing masih dikenal pasti.

“Minassian adalah pemandu van yang membunuh 10 orang di Yonge Street pada tengah hari Isnin,” kata pendakwa raya, Joe Callaghan di mahkamah.

Tertuduh hanya duduk dengan tangannya di belakang dan memakai baju lokap berwarna putih.

Minassian kelihatan tenang ketika dibawa keluar dari mahkamah dan perbicaraan itu dijadual disambung semula pada 10 Mei ini untuk rayuan ikat jamin.

Sementara itu, Menteri Keselamatan Awam, Ralph Goodale menolak spekulasi bahawa serangan itu sama seperti insiden rempuhan yang dilakukan anggota pengganas seperti di London, Nice dan bandar besar lain.

“Siasatan kes pembunuhan sedang dijalankan. Siasatan masih di peringkat awal tetapi setakat ini tiada sebarang kaitan dengan keselamatan negara,” katanya. - AFP

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 4:43am
d