global

Menteri kesal guna kereta rasmi lawat studio yoga

Oleh AFP

MENTERI Pendidikan Jepun meminta maaf hari ini kerana menggunakan kereta rasmi untuk melawat studio yoga, tetapi menafikan dakwaan kemudahan itu menawarkan ‘yoga peribadi seksi’.

Perbalahan itu adalah yang terbaru menggegarkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Shinzo Abe, yang sudah pun berhadapan kecaman selepas dua skandal kronisme dan dakwaan gangguan seksual ke atas birokrat atasan Kementerian Kewangan.

Majalah Shukan Bunshun, hari ini melaporkan Menteri Pendidikan, Yoshimasa Hayashi, melawat studio yoga di daerah Ebisu di Tokyo menggunakan kereta kerajaan, dan mengambil kelas peribadi di situ.

“Saya meminta maaf kerana mencetuskan kekeliruan di tengah keadaan tegang di Parlimen.

“Ketika kerajaan berhadapan kritikan teruk, saya akan berkhidmat kepada awam dengan cara lebih berdisiplin,” katanya, merujuk kepada pelbagai skandal membabitkan Kabinet beberapa minggu ini.

Katanya, beliau sepatutnya meletakkan sempadan antara umum dan persendirian, walaupun dalam kes ini ia tidak menyalahi peraturan.

Menteri dibenarkan menggunakan kenderaan kerajaan untuk tujuan peribadi yang dilakukan dalam masa urusan awam.

Majalah itu menggambarkan studio yoga berkenaan sebagai ‘yoga peribadi seksi’ dikendalikan bekas aktres lucah yang menawarkan kelas persendirian dan urutan minyak.

Namun Hayashi berkata, beliau cuma mengikuti kelas yoga biasa dan berurut dengan tekanan jari untuk kesihatan lebih baik.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 1:31pm
d